Utama > Pengenalan

14-May-2019

Oleh : Sir Wan Jefree Bin Wan Sulaiman
Pak Su dalam karangan di bawah bermaksud Pak Su Md Isa atau Omar bin Haji Man.

Orang yang mula mencetuskan gagasan untuk menubuhkan sebuah sekolah rendah Islam di Alor Setar ialah Cikgu Haji Ahmad Syukri bin Md Isa ketika berbual dengan Pak Su dalam tahun 1988. Seterusnya Pak Su menemui Datuk Syeikh Azmi bin Ahmad yang merupakan Yang Di Pertua ABIM Negeri Kedah waktu itu dan mengemukakan cadangan itu. Syeikh Azmi meminta Pak Su membentangkan cadangan tersebut dalam Usrah Derga.

Dalam perjumpaan Usrah Derga di rumah Muhammad Ali Mustaza bin Muhammad, Pak Su membentangkan cadangan untuk menubuhkan sekolah rendah Islam untuk dibincangkan. Usrah bersetuju dengan cadangan pembinaan sekolah rendah Islam itu dan keputusan usrah itu akhirnya menjadi keputusan rasmi ABIM Negeri Kedah.

ABIM ketika itu tidaklah mempunyai dana yang banyak untuk mewujudkan sebuah sekolah rendah Islam. Masalah-masalah utama yang perlu diselesaikan ialah kurikulum, sukatan pelajaran, tempat atau bangunan, peralatan , tenaga pengajar dan juga pelajar.

Biro Pendidikan ABIM Pusat yang diketuai Dr. Abdul Rahman Kuraish telah menyediakan kurikulum dan sukatan pembelajaran SRI ABIM.
Masalah tempat atau bangunan diselesaikan oleh Cikgu Haji Ahmad Syukri bin Md Isa yang sanggup mencari dan menyewa bangunan dengan duitnya sendiri. Beliau juga bersedia untuk menderma kerusi, meja dan kelengkapan pejabat daripada pusat tiusyennya sendiri untuk kegunaan para pelajar serta pihak pentadbiran sekolah tersebut. Mesin cetak gestetner disumbangkan oleh Persatuan Pelajar Islam Negeri Kedah
(PPINK). Mesin cetak ini digunakan sehingga diganti oleh mesin fotostat.

Untuk mendapatkan pelajar, Pak Su dan Cikgu Ahmad Syukri menjalankan kempen di kalangan ahli-ahli ABIM dan orang-orang yang menyokong sistem pendidikan Islam. Seramai 30 orang telah berjaya didaftarkan sebagai para pelajar perintis SRI ABIM Alor Setar untuk sesi 1989.

Nama rasmi sekolah dicadangkan oleh ABIM Pusat dan diterimapakai oleh ABIM Kedah iaitu Sekolah Rendah Islam ABIM
Pada tahun 1989, Cikgu Haji Ahmad Syukri telah menyewa tiga unit tingkat atas di Kompleks Alor Setar, Lebuhraya Darulaman, Alor Setar, Kedah. Dua unit untuk dijadikan Sekolah Rendah Islam ABIM Alor Setar dan seunit lagi untuk kegunaan tiusyennya. Tahun 1989 menjadi tahun rasmi penubuhan Sekolah Rendah Islam ABIM Alor Setar bila para pelajar perintis mendaftar diri untuk belajar di situ.

Pak Su telah mencadangkan beberapa nama ( Cikgu Ahmad Syukri bin Md Isa, Ustaz Abdullah bin Abdul Hamid dan Ustaz Ghazali bin Abdullah ) untuk jawatan guru besar pada Datuk Syeikh Azmi Ahmad tetapi telah ditolak. Datuk Syeikh Azmi mencadangkan Pak Su menjadi guru besar dan dipersetujui oleh para pimpinan ABIM Kedah yang lain. Pak Su menjadi guru besar pertama Sekolah Rendah Islam ABIM Alor Setar pada tahun 1989. Hari penyampaian hadiah atau Ihtifal pertama diadakan di situ.

Beliau pun meninggalkan kerjayanya sebagai seorang petani dan pengusaha kilang padi yang berjaya dan memikul amanah dan jawatan guru besar dengan penuh rasa tanggungjawab dan kegigihan sehingga tahun 2004 walaupun imbuhannya tidak seberapa. Setakat yang diketahui, Pak Su adalah guru besar yang paling lama memegang jawatan guru besar di kalangan sekolah-sekolah rendah Islam ABIM. Para guru besar SRI-SRI ABIM yang lain kerap berganti.

Pengerusi Lembaga Pengurus SRI ABIM ialah Datuk Syeikh Azmi Ahmad. Ahli-ahli jawatankuasanya terdiri daripada Pak Su, Kasmani, Mahmud Radhi Muhammad, Cikgu Harun Mat Isa, Md Ramly Wan Ahmad.

Tiga orang wanita telah sanggup menjadi guru perintis ketika itu ( 1989 ) walaupun dengan imbuhan yang tidak seberapa iaitu Rm100 sebulan ( dibiayai oleh Cikgu Ahmad Syukri ). Mereka adalah Samsurah binti Haji Salleh, Che Puteh binti Haji Mohd Saad dan Fatimah binti Hasan. Cikgu Ahmad Syukri menjadi guru bahasa Inggeris. Pembantu tadbir ketika itu ialah Hafidzoh binti Tasol. Pada tahun 1990, jumlah guru semakin bertambah dengan kemasukan Ustaz Haji Abdul Murad bin Abdul Hamid, Zuraini binti Zakaria, Hashimah binti Ismail dan Wan Jaffree bin Wan Sulaiman. Ustaz Roslan bin Hashim , Ustaz Abdul Razal bin Abdul Wahab dan Ustaz Zulkifli bin Che Din menyusul dalam tahun 1992.

Che Puteh binti Hj. Mohd Saad, Cikgu Ahmad Syukri bin Md Isa dan Pak Su dengan diiringi isterinya Puan Azizah Hanim binti Abdul Rahman ( Mak Su ) telah menghadiri kursus perguruan pertama untuk guru-guru SRI ABIM seluruh Malaysia yang diadakan di Pusat Latihan ABIM , Sungai Ramal, Kajang , Selangor pada tahun 1990.

Pada tahun 1990, SRI ABIM telah berpindah ke Bangunan Taski di Lorong Sepakat, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar.
Sementara itu, usaha mencari tapak tetap untuk sekolah dan pejabat ABIM Negeri telah dijalankan pihak ABIM. Haji Othman Lateh mencadangkan ABIM membeli kilang beras di Batu 2 , Jalan Sungai Korok ( kini Lebuhraya Sultan Abdul Halim ) , Alor Setar dan Abdul Hamid Othman pula mencadangkan dibeli gudang beras di Kpg Pengapit Batu, Km 5, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar. Cadangan Abdul Hamid Othman telah dipersetujui ABIM Kedah.

Gudang beras Haji Zakaria dan kawasannya seluas kira-kira seekar telah dibeli dengan harga RM 265,000.00 pada tahun 1990, telah laksanakan melalui dua cara – iaitu cara wakaf tapak (sekaki persegi bernilai RM 10.00) dan melalui pinjaman daripada Koperasi Belia Islam ( K.B.I.) atas nama ahli-ahli ABIM yang berikut:
1. Tuan Haji Muhammad Ariff bin Yahya;
2. Cikgu Haji Muhammad Noor bin Haji Abdullah;
3. Cikgu Muhammad Subhi bin Abdullah;
4. Cikgu Haji Abdullah bin Abd. Samat;
5. Cikgu Haji Zain bin Mahmud
6. Tuan Haji Hamat bin Hussein.

Pada pertengahan kedua tahun 1990, kerja-kerja ubahsuai bangunan gudang beras untuk dijadikan empat bilik ( termasuk 3 bilik darjah ) telah dilakukan oleh Syukri bin Muhammad , Muhammad Ramzan bin Ibrahim ( Jan ) dan para pembantu mereka.

Pada penghujung tahun 1990, SRI ABIM pun berpindah ke Km 5, Jalan Datuk Kumbar, 05300 Alor Setar, Kedah. Gudang beras itu mempunyai tiga bilik darjah untuk darjah satu, dua dan tiga.

Pada tahun 1991, bilik darjah mencukupi untuk darjah satu, dua dan tiga. Pada tahun 1992, pihak SRI ABIM Alor Setar terpaksa menyewa satu unit kedai di Taman Nuri untuk menempatkan para pelajar tahun satu. Para guru yang terlibat di Taman Nuri ialah Hashimah binti Ismail, Siti Hajar, Nabilah binti Ahmad dan Roslan bin Hashim. Darjah 1 lelaki dan darjah 1 perempuan ditempatkan di situ sehingga bulan Julai, 1992 dan kemudian mereka dipindahkan ke bangunan no: 205, Jalan Langgar, Alor Setar yang ditawarkan kepada pihak sekolah tanpa perlu membayar sewa. Empat orang guru dan seorang kerani ditugaskan untuk cawangan darjah 1. Para guru yang terlibat di Jalan Langgar ialah Intan Shafinaz binti Zainuddin, Nabilah binti Ahmad, Khorsiah bt. Saad dan Nor Ashikin bin Che Don.

Tahun 1993 menyaksikan pembinaan bangunan sekolah setinggi tiga tingkat yang memuatkan enam bilik darjah dan tingkat bawah dijadikan dewan serbaguna.

Menjelang tahun 1994, SRI ABIM menghantar calon untuk menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah ( UPSR ) buat pertama kali. Mereka adalah para pelajar perintis. Mereka berkampung selama beberapa bulan di cawangan Jalan Langgar untuk memantapkan kemampuan ruhaniah dan ilmiah mereka agar mereka lebih bersedia berdepan dengan UPSR.

Pada tahun 1995, sambungan kepada bangunan tiga tingkat yang sedia ada telah dilaksanakan dan bilik darjah semakin bertambah menjadi 12 buah.
Awal tahun 1996, semua pelajar tahun 1 dipindahkan ke sekolah induk di Km. 5, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar.

Pada tahun 2002, bangunan setingkat telah dibina separuh dan pada tahun 2003, ia dilengkapkan seperti yang ada sekarang dengan 8 buah bilik darjah oleh para tukang yang diketuai oleh Tuan Haji Hashim bin Ahmad dan para pembantunya. Pembinaan bangunan ini dilaksanakan dengan kaedah pembelian bahan binaan oleh pihak sekolah melalui pihak pembekal yang pembayaran dibuat secara ansuran bulanan. Manakala bayaran upah pekerja hanya diambil setakat keperluan pekerja sehingga kerja-kerja siap. Walaupun jumlah bayaran upah masih berbaki namun pihak tukang tersebut telah menyumbangkan semula kepada pihak sekolah.

SRI ABIM melaksanakan sistem persekolahan satu sesi yang bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 4.30 petang. Pada peringkat awal para pelajar diminta tidur sebentar dari pukul 12.30 tengahari hingga pukul 1.15 petang ( Qailullah / tidur sebentar sebelumsolat Zohor). SRI ABIM tidak ada kantin untuk jualan makanan akan tetapi pihak sekolah yang menyediakan makanan untuk semua pelajar dan kakitangan. Pihak sekolah menyediakan bilik dan peralatan dapur dan mengupah tukang masak. Tukang masak dan para pembantunya menyediakan makanan untuk para pelajar dan juga guru tiga kali sehari (makan pagi, makan tengahari, minum petang). Keistimewaan SRI ABIM Alor Setar ialah para pelajar makan menggunakan talam. Satu talam dikongsi tiga orang. Perkara ini terbukti mengukuhkan hubungan ukhwah di antara pelajar dengan pelajar.dan di antara pelajar dengan pihak sekolah.

Sepanjang sejarah SRI ABIM , tugas memasak makanan telah dipikul oleh :
1. Besah binti Musa ( adik ipar Cikgu Ahmad Syukri ) ketika di Kompleks Alor Setar.
2. Haji Salleh bin Haji Jamil ketika di Bangunan TASKI, Lorong Sepakat ( 1990 ) dan kettika di Km 5, Jalan Datuk Kumbar sehingga tahun 1991.
3. Puteh binti Mustaffa ( Jamilah ) dan suaminya Muhammad Sabri bin Saad (Aris ) di SRI ABIM induk di Km5, Jalan Datuk Kumbar, dari tahun 1992 hingga tahun 2002.
4. Muhammad Syukarmi bin Zakaria dari tahun 2003 hingga tahun 2005.
5. Md Nor bin Johari dari Januari 2006 sehingga Disember 2006
6. Saodah binti Abdul Rahman ( Mak Ndak ) dari tahun 2007 hingga pertengahan tahun 2009
7. Hasnah binti Abdullah dari pertengahan tahun 2009 sehingga sekarang.Sejak Mak Ndak memegang tugas itu, orang yang ditugaskan untuk membeli bekalan bahan mentah ialah Shuib bin Hussain. Shuib memegang tugas itu hinggalah sekarang.

Pada peringkat awal, para guru dibahagi kepada dua sesi. Sesi pagi dan sesi petang. Guru sesi pagi bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga pukul 1.00 petang. Guru sesi petang bermula pukul 1.00 petang sehingga pukul 5.00 petang. Apabila Ustaz Mohd Asri bin Haji Zakaria mengambil alih tugas guru besar pada tahun 2005, semua guru bertugas dalam satu sesi saja. Bermula pukul 8.00 pagi sehingga pukul 4.30 petang mengikut saranan pihak Yayasan Takmir Pendidikan ABIM Pusat.

Daripada 30 pelajar perintis yang memulakan pengajian pada tahun 1989, hanya 23 orang yang berjaya menamatkan darjah 6 dan 18 orang menduduki peperiksaan UPSR pada tahun 1994. 4 orang lagi mengulangi darjah 6 dan menduduki peperiksaan UPSR pada tahun 1995 kerana umur muda. Seorang lagi pelajar ( Ariffah binti Yusoff ) tidak mahu mengulangi darjah 6 walaupun umur muda dan berhenti belajar di SRI ABIM. Senarai pelajar perintis yang berjaya menghabiskan tahun enam (1994) di SRIAS adalah seperti berikut:
1. Ahmad Badiuddin bin Abdul Ghani;
2. Muhammad Amir bin Ishak;
3. Muhammad Zafri bin Muhammad Zain;
4. Muhammad Ihsan bin Muhammad Ramli;
5. Muhammad Fairuz bin Ramli;
6. Muhammad Luthfi bin Hamdan;
7. Izzat Shauqi bin Ahmad;
8. Muhammad Zamzul Hisham bin Abdul Rahman;
9. Muhammad Asmi Shahman bin Ahmad Shukri;
10. Aimi Athirah binti Muhammad Fikri;
11. Atiqah Hani binti Muhammad Fikri;
12. Ariffah binti Yusoff;
13. Jihan binti Muhammad Idris;
14. Rabiatul Athirah binti Muhammad Isa;
15. Bushra Hayati binti Md Akhir
16. Ummul Hani binti Abdul Rahman;
17. Nur Farhanim binti Abdul Hamid;
18. Siti Nurshida f@ Fairus Diana binti Hamdan;
19. Nurahiyah binti Muhammad Yunus;
20. Nur Asmila Syahnaz binti Haji Ahmad Shukri;
21. Fatimah Azzahra’ binti Muhammad Saad;
22. Nabilah binti Abdul Rahman;
23. Siti Sakinah binti Abdul Rahman.

Kini ( 2009 ) jumlah pelajar SRI ABIM Alor Setar telah mencecah 679 (40 lelaki, 269 perempuan ) selepas melalui tempoh 20 tahun. Kemelut politik pada tahun 1999 telah memaksa ABIM menukar nama sekolah menjadi Sekolah Rendah Islam Alor Setar (SRIAS) Kedudukan SRI ABIM Alor Setar yang merupakan sebuah sekolah yang sangat sederhana pada peringkat awal dulu telah bertukar menjadi sebuah sekolah yang agak kedepan dalam bidang kurikulum dan kokurikulum. Rekod kecemerlangan ini ada dalam lampiran lain dalam majalah ini.

Rekod kecemerlangan ini adalah hasil daripada kesepaduan mantap fikrah, sikap dan kerjasama di antara pihak pentadbiran dengan para guru dan di antara pihak sekolah dengan pihak waris pelajar serta masyarakat. Sekolah ini juga bertuah kerana mempunyai para guru teras yang tidak bertukar ganti. Pengorbanan, kegigihan dan keperihatinan mereka turut menyumbang kepada kejayaan cemerlang sekolah ini.

SRI ABIM ini, yang dahulunya hampir merupakan sebuah pulau yang dikelilingi lautan sawah padi yang menghijau ketika padi membesar dan menguning ketika padi masak, telah banyak berubah. Sawah padi masih kekal di belakang. Di kanannya ada bengkel cuci kereta.. Di kirinya padang luas yang telah diwakafkan dan bakal didirikan masjid. Di depannya tempat letak kereta. Di seberang jalan ialah Taman Kemuning ( dulu Taman Arif Jaya ). Di kawasan lapang depan bangunan panjang yang terkenal dengan gelaran gerabak keretapi itu terdapat batang-batang cerucuk yang menandakan bangunan baru yang bakal didirikan. Bangunan 4 tingkat (35 buah bilik kelas) ini akan menampung keperluan semasa pihak sekolah dan juga akan menempatkan sekolah menengah Islam Tahfiz / Sains yang sangat-sangat dinantikan oleh para waris pelajar dan masyarakat. Perasmian perletakan batu asas telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Fatwa Singapura, Sohibus Samahah Ustaz Tengku Muhammad Fouzy bin Tengku Mahid Jumat pada hari Khamis, 23 Safar 1430 bersamaan 19 Februari 2009.
Kita berdoa dan berharap kepada Allah agar kewujudan Sekolah Menengah Islam Tahfiz/ /Sains akan berjaya melakar sejarah kecemerlangannya sendiri sepertimana yang diukir oleh Sekolah Rendah Islam ABIM Alor Setar. AMIN.